
KUALA LUMPUR: Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menjalin kerjasama strategik bagi melancarkan Pertandingan Keusahawanan Pitch & Grow, bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025.
Menerusi kenyataan, HRD Corp menyatakan pertandingan itu merupakan aktiviti berimpak tinggi di Bawah NTW yang bertujuan memupuk pembangunan keusahawanan di samping memperkasa usahawan yang bercita-cita tinggi melalui penyediaan alatan, bimbingan serta pendedahan yang diperlukan.
“Pertandingan ini merupakan inisiatif berkonsepkan rancangan “Shark Tank” yang menawarkan platform kepada para peserta untuk membentangkan idea perniagaan inovatif mereka di hadapan panel juri.
“Melalui pertandingan ini, peserta boleh menerima maklum balas daripada pakar peniagaan, bersaing dalam merebut hadiah menarik di samping berpotensi menerima sokongan bagi merealisasikan rancangan perniagaan mereka,” menurut kenyataan itu.
Antara hadiah yang ditawarkan dalam pertandingan itu adalah wang tunai tajaan Pernas. Seramai tiga pemenang utama akan dipilih oleh panel juri dari Pernas dan HRD Corp.
Hadiah wang tunai akan diberikan kepada pemenang utama yang mempunyai rancangan perniagaan yang berinovasi dan berdaya maju dengan tempat pertama bakal membawa pulang RM10,000, tempat kedua (RM5,000) dan tempat ketiga (RM3,000).
Selain itu, peserta yang disenarai pendek untuk pertandingan itu akan terpilih untuk mengikuti Bengkel Cadangan Perniagaan yang dianjurkan oleh Pernas di bawah Franchise Institute.
Sesi ini bertujuan memperkukuh kemahiran peserta dalam membangunkan cadangan perniagaan dan membentangkannya secara efektif.
“Selepas pertandingan dijalankan, finalis akan menerima bimbingan dan sokongan perniagaan selama tiga hingga enam bulan oleh Pernas.
“Komponen ini penting dalam membantu peserta melaksana seterusnya memperhalusi rancangan perniagaan dengan lebih berkesan.
Pertandingan seumpama ini dapat menambah elemen keseronokan dan kepantasan dalam proses keusahawanan, mendorong peserta untuk berfikir secara strategik, menyampaikan impak dan memperhalusi nilai cadangan mereka di hadapan barisan juri yang berpengalaman,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan itu di https://www.nationaltrainingweek.gov.my/ dengan menghantar penyertaan selewat-lewatnya pada 28 Mei ini.








