KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) terus mencipta kelainan dalam perkhidmatan umrah apabila bakal memperkenalkan destinasi baharu bagi pakej umrah ziarah 1447H (2025/2026M) di benua Asia Tengah dalam masa terdekat.
Pakej umrah ziarah yang ditawarkan Andalusia dengan kerjasama syarikat penerbangan Air Arabia itu meliputi enam buah negara termasuk Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Kyrgystan, Tajikistan dan Azerbaijan.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, destinasi baharu itu membolehkan para jemaah menikmati pengalaman menelusuri destinasi eksotik yang selamat, Islamik dan penuh keindahan.
“Insya-Allah dalam masa terdekat kami akan membuka laluan umrah melalui Baku (Azerbaijan), Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Kyrgystan dan Tajikistan.
“Semua ini hanya dapat direalisasikan melalui laluan strategik Air Arabia yang menghubungkan dunia Islam secara menyeluruh dari pusat operasinya di Sharjah dan Andalusia mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk memperkayakan nilai ibadah jemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Air Arabia bagi Musim Umrah 1447H (2025/2026M) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengurus Negara Air Arabia, Yasmin Ahmad Shamsuddin.
Terdahulu, Andalusia memeterai perjanjian dengan Air Arabia bagi 10,000 tempat duduk penerbangan umrah musim 1447H dengan nilai kontrak berjumlah RM31 juta.
Ida Riswana berkata, pihaknya percaya kerjasama tersebut memberi impak apabila dapat mengurangkan kos ibadah tanpa menurunkan kualiti pengalaman.
“Ia juga membuka laluan lebih luas kepada jemaah untuk meneroka dunia Islam sebelum ke Haramain, selain menjadikan ibadah umrah sebagai pengalaman menyeluruh daripada ilmu, ziarah, sejarah hingga spritual,” katanya.
Katanya, walaupun Air Arabia berpangkalan di Sharjah, tempoh transit yang ditawarkan adalah singkat dan selesa yang mana membolehkan jemaah tiba ke destinasi dengan lebih cepat tanpa keletihan akibat transit yang lama.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan program khas tawaran istimewa kepada orang ramai pada 25 Mei ini.
“Kita akan mengadakan ‘Pay Day Sales’ dengan tawaran menarik Andalusia termasuk pakej-pakej Air Arabia kepada orang ramai pada hari tersebut,” katanya.
