KUALA LUMPUR: Jenama terkemuka dari Indonesia, Mustika Ratu bakal menjalani transformasi sempena meraikan pencapaian 38 tahun beroperasi di negara ini.
Produk jenama berteraskan kecantikan dan kesihatan berasaskan alam semula jadi warisan Indonesia itu ingin terus kekal relevan dalam menghadapi persaingan serta perubahan landskap trend pengguna.
Ketua Eksport, Perniagaan Antarabangsa dan Saluran Perubatan Mustika Ratu Indonesia, Dr. Tommy Castalie berkata, jenama Mustika Ratu sudah menjadi legenda terutama melibatkan produk-produk berasaskan herba selepas bertapak hampir 38 tahun di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pada tahun ini, syarikat berhasrat menembusi pasaran golongan muda terutama Generasi Z (Gen Z) dengan memperkenalkan produk-produk baharu.
“Pelancaran produk-produk baharu ini merupakan antara salah satu transformasi Mustika Ratu yang akan dilaksanakan bersesuaian menghadapi persaingan dan perubahan trend pengguna.
“Ia akan didatangkan dengan reka bentuk pembungkusan lebih kemas dan menarik serta warna-warna terang dekat di hati generasi muda,” ujarnya.
Tommy memberitahu, produk-produk berkenaan menampilkan wangian lembut membangkitkan pesona penggunaan bahan-bahan alam semula jadi malah ditawarkan pada harga mampu milik kepada pengguna.
Selain itu, beliau berkata, sempena transformasi berkenaan, Mustika Ratu telah menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan strategi perniagaannya.
“Ini termasuk penggunaan platform digital sebagai medium pemasaran dan penjualan, serta inovasi dalam produk untuk memenuhi permintaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah.
“Sempena ulang tahun ke-38 kelak, Mustika Ratu akan menjalani transformasi perniagaan menjadi pengedar lebih profesional termasuk kepada prinsipal-prinsipal,” katanya.
Mustika Ratu telah melebarkan sayap menjadi jenama kecantikan dan kesihatan diiktiraf secara global memasuki pasaran lebih daripada 40 negara di seluruh dunia.
Produk Mustika Ratu termasuk jamu, penjagaan diri dan kosmetik mendapat sambutan positif di pelbagai pasaran antarabangsa.
