
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pembangunan Sumber Manusia berhad (HRD Corp) meningkatkan potensi penuh tenaga kerja serantau dengan pelancaran ASEAN Year of Skills (AYOS).
Inisiatif itu bersempena Kepengerusian Malaysia pada tahun ini sebagai langkah strategik menyatukan kekuatan tenaga kerja serantau ke arah kemakmuran bersama dan daya saing global.
KESUMA dalam satu kenyataan berkata, tenaga kerja yang pelbagai dan dinamik merupakan aset terbesar ASEAN yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Katanya, ia mengetengahkan kemahiran tenaga kerja selain memupuk pembangunan bakat serantau melalui kerjasama antara negara-negara anggota.
“AYOS 2025 memanfaatkan kekuatan terbesar ASEAN iaitu tenaga kerjanya yang pelbagai dan dinamik.
“Inisiatif ini menekankan kepentingan tindakan kolektif dalam kalangan negara anggota untuk menangani ketidaksetaraan serantau, membuka potensi belia dan meningkatkan daya tahan tenaga kerja,” katanya.
Bertemakan “Memperkasakan Kemahiran, Mengukuhkan ASEAN”, program itu dirangka berpaksikan lima objektif utama iaitu merapatkan jurang kemahiran, menggalakkan mobiliti bakat dan menjamin pertumbuhan inklusif.
Ia turut berperanan bagi memperkukuhkan kerjasama serantau dan meningkatkan hubungan strategik awam-swasta dalam menyediakan tenaga kerja masa depan.
AYOS 2025 mendapat sokongan padu daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Sekretariat ASEAN (ASEC) yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaannya.
Kedua-dua organisasi tersebut membekalkan kepakaran, sumber serta panduan strategik untuk memastikan objektif inisiatif dapat dicapai.
KESUMA berkata, di peringkat nasional, setiap negara anggota mempunyai koordinator dan Duta Nasional yang bertindak sebagai penghubung utama program-program AYOS.
“Para koordinator dan duta ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan serta menyelaras program serantau dan aktiviti nasional selaras dengan matlamat AYOS 2025.
“Inisiatif ini melibatkan pihak berkepentingan utama, memperkasakan pembangunan modal insan, mewakili negara dalam perbincangan serantau bagi memastikan pelaksanaan yang bersepadu di seluruh ASEAN,” katanya.
Terdapat tujuh acara utama akan dilaksanakan sepanjang tahun yang bertujuan menggalakkan kolaborasi dan inovasi serantau antaranya Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS).
Simposium itu dijangka menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri serta pakar dalam usaha meneroka pembiayaan kemahiran yang inovatif.
Antara tumpuan utama simposium ialah mengetengahkan model berkesan serta amalan terbaik yang mampu memperluas akses kepada peluang kemahiran.
Acara-acara lain termasuk Minggu Latihan Kebangsaan (NTW), ASEAN Training Market Conference (ATMC), Persidangan TVET ASEAN, Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025, Forum Kemahiran Global (GSF) serta Forum Menteri Tenaga Manusia ASEAN untuk Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD).






