
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan Arab Saudi, Saudia bagi menyediakan sebanyak 70,000 tempat duduk untuk penerbangan umrah musim 1447H, bernilai RM248 juta.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kerjasama itu bukan sahaja penting daripada sudut komersial, tetapi turut membawa signifikan yang besar di persada antarabangsa.
Beliau berkata, ia juga dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai jemaah umrah yang paling berdisiplin dan teratur ke Tanah Suci.
“MoU ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan seperti Andalusia untuk bekerjasama secara langsung dengan syarikat penerbangan gergasi dunia seperti Saudia,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Pengurus Kanan Adinas Tours & Travel, Che Zakiah Ahmad.
Ida Riswana berkata, antara kelebihan utama menerusi kerjasama tersebut, termasuk penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah, kemudahan kuota bagasi besar, hidangan makanan halal, pengumuman waktu solat dan arah kiblat, ruang solat khas dalam pesawat serta krew kabin yang terlatih serta mesra pelanggan.
Katanya, bagi musim 1446H, Andalusia berjaya menerbangkan hampir 21,000 jemaah menggunakan penerbangan Saudia.
“Walaupun jumlah ini tidak mencapai sasaran seperti yang disasarkan, Andalusia tetap komited untuk memperkukuhkan jualan dan akan terus menyokong usaha Saudia bagi mencapai sasaran tersebut untuk musim akan datang.
“Kejayaan ini juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada lebih 230 agensi pelancongan B2B dari Malaysia dan luar negara yang sentiasa bersama kami dalam memasarkan pakej-pakej Andalusia ke seluruh pelusuk negara,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya amat menghargai kesetiaan dan kerjasama erat selain berharap hubungan tersebut akan terus diperkukuhkan.







