KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menasihatkan para jemaah haji supaya mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal menjelang hari wukuf di Arafah tidak lama lagi.
Pegawai Operasi Haji Andalusia, Muhammad Bukhari Mohd Faizal berkata, suasana di Arafah adalah waktu paling mencabar fizikal dan mental para jemaah.
Katanya, antara cabaran yang jemaah hadapi adalah masalah kesihatan sama ada sebelum tiba atau semasa berada di Tanah Suci.
Katanya, setiap hari para petugas akan memeriksa senarai para jemaah Andalusia bagi mengenal pasti jika ada dalam kalangan mereka yang tidak sihat dan perlu dibawa ke klinik Lembaga Tabung Haji berdekatan sambil mengiringi mereka.
“Alhamdulillah dengan bantuan pihak Tabung Haji yang menyediakan kemudahan untuk jemaah haji di Malaysia, kita dapat atasi masalah tersebut dengan kemas dan teratur.
“Bagaimanapun, kami menasihatkan para jemaah agar meminimumkan pergerakan keluar dari hotel terutama pada waktu panas bagi mengelakkan berlaku masalah terutamanya melibatkan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Ceritera.
Pada tahun ini, seramai 573 jemaah menunaikan haji di bawah kendalian Andalusia melibatkan beberapa penerbangan ke Tanah Suci secara berfasa.

Menurut Muhammad Bukhari, persiapan para petugas dan jemaah haji melaksanakan ibadah haji setakat ini berjalan lancar.
Katanya, beberapa program seperti menunaikan umrah sebanyak tiga kali, ceramah berkenaan rukun haji, pengurusan haji dan lain-lain sudah selesai dijalankan.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan lagi yang masih belum tiba di bumi Haramain dan kami akan melaksanakan segala persediaan yang dirancang setibanya mereka di sini,” katanya.
Katanya, buat masa ini jumlah jemaah semakin ramai dari seluruh dunia dan ia dijangka bertambah pada 25 Zulkaedah 1446H, menyaksikan bermulanya kemuncak haji.
“Alhamdulillah kawalan daripada Kerajaan Arab Saudi semakin baik dari tahun ke tahun sekali gus memudahkan lagi urusan para jemaah,” katanya.
Andalusia juga menawarkan peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah menerusi cabutan dalam Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA).

Kempen itu membolehkan para peserta yang berdaftar berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berjumlah RM500,000 termasuk sebuah kereta dan dua motosikal.
Cabutan bertuah itu akan berlangsung selama 52 minggu sehingga 31 Disember 2025 pada setiap hari Jumaat yang disiarkan menerusi siaran langsung bermula pukul 8.30 sehingga 10 malam.
