
LANGKAWI: Sebanyak 27 laporan berkaitan kerosakan rumah penduduk kampung dipercayai akibat gegaran ketika pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, semua laporan tersebut disiasat dan akan diserahkan kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.
“Tiada kejadian seperti ini pada acara sebelum ini namun pihak polis menyiasat semua laporan tersebut. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat pemeriksaan dan setelah pengesahan dilakukan.
“Hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak penganjur, iaitu Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) untuk dibuat pengkategorian,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Keselamatan dan Lalu Lintas sempena LIMA’25 di Pusat Latihan Polis Langkawi, di sini hari ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan penduduk terlibat supaya mengemukakan laporan yang sahih dan tidak mengambil kesempatan di atas insiden berkenaan.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu kementerian mengambil maklum serta tidak akan mengabaikan dakwaan kerosakan rumah penduduk tersebut.





