KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihati pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan beberapa laluan utama sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Menurut PLUS dalam kenyataan hari ini, penutupan laluan yang akan dilaksanakan berperingkat mulai esok hingga 26 Mei dan pada 28 Mei, turut membabitkan beberapa jajaran di lebuh raya kendaliannya.
Antaranya, laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Putrajaya di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Subang-Jalan Duta di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), dan Sungai Buloh-Jalan Duta di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Penutupan laluan terbabit akan bermula seawal 7 pagi pada 23 hingga 26 Mei, manakala pada 28 Mei pula dijadualkan bermula 8 pagi.
“PLUS akan bersiap sedia dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi lebuh raya sepanjang tempoh itu serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, khususnya anggota trafik yang bertugas dalam melancarkan pergerakan delegasi,” katanya.
Justeru, pengguna lebuh raya terutama yang dalam perjalanan ke atau dari KLIA dan Pangkalan Udara Subang (TUDM), disarankan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak sebarang kelewatan.
PLUS turut menasihati pengguna supaya memberi kerjasama penuh serta mematuhi arahan petugas trafik di lokasi.
“Jika pemanduan tidak dapat dielakkan, sila menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas ketika penutupan laluan dilaksanakan,” katanya.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh melalui platform media sosial Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)/Polis Diraja Malaysia (PDRM), aplikasi PLUS, aplikasi X@plustrafik serta Papan Tanda Elektronik (VMS) di lebuh raya.
Orang ramai turut digalak menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze untuk merancang perjalanan dengan lebih efisien.
