BACHOK: Seorang pekerja kilang yang ditahan berhubung kes pengusaha spa disimbah asid di Beris Kubur Besar pada Sabtu lalu, direman lima hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman hingga 26 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Wanita berusia 38 tahun itu tiba dengan diiringi polis pukul 9.20 pagi tadi di Mahkamah Majistret Bachok, dengan memakai tudung dan baju berwarna biru serta seluar sukan berwarna hitam.
Terdahulu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata wanita itu ditahan di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai pukul 4 petang semalam.
Tangkapan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam Sabtu lalu, pengusaha spa, Nor Faziera Muda, 27, melecur lebih 80 peratus di bahagian belakang badan dan tangan hingga siku selepas disimbah asid oleh suspek yang menyamar sebagai pelanggan menempah janji temu dengan mangsa.
