
KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 kali ini menekankan keperluan ASEAN untuk menjadi sebuah komuniti serantau berdaulat, aman dan bebas daripada campur tangan kuasa luar.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat, deklarasi tersebut adalah signifikan dalam konteks geopolitik serantau yang semakin kompleks.
Bagaimanapun katanya, ia memerlukan perincian lanjut tentang mekanisme pelaksanaan dan keberkesanan dasar demikian.
“Ia mengangkat saranan agar Deklarasi Kuala Lumpur melangkaui retorik dan diterjemahkan kepada tindakan berimpak tinggi.
“Pandangan ini amat wajar memandangkan kecenderungan ASEAN sebelum ini untuk menghasilkan pernyataan dasar yang bersifat umum tanpa susulan pelaksanaan efektif,” katanya ketika dihubungi Ceritera di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Deklarasi Kuala Lumpur bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau itu dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Beliau menyifatkan deklarasi itu sebagai kemuncak kepada kerjasama erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan.
Selain itu, ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting berorientasikan masa hadapan.
Abu Sofian yang juga Pensyarah Fakulti Akaun, Bisnes dan Ekonomi Kolej Universiti i-CATS berkata, ia memberikan sorotan awal terhadap kepentingan Deklarasi Kuala Lumpur dengan memfokuskan terhadap tiga teras utama iaitu tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Katanya, ia bukan sahaja berfungsi sebagai dokumen dasar serantau, tetapi juga instrumen politik bagi memposisikan Malaysia selaku pemain yang berpengaruh dalam arena ASEAN dan global.







