
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mempertimbangkan cadangan pengharaman penjualan produk rokok elektronik atau vape di bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengambil kira syor daripada Kementerian Kesihatan serta perlu merujuk pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam menentukan langkah terbaik menangani isu berkenaan.
“Pengharaman (penjualan) vape merupakan satu cadangan yang baik, dan ia akan dilaksanakan jika memberikan kesan serius kepada kesihatan.
“Cuma saya minta penguatkuasaan penjualan vape perisa cendawan (mushroom) itu paling penting untuk diselesaikan dulu.
“Selain itu, kita juga minta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak diberi lagi lesen penjualan vape, termasuk permohonan baharu. Setakat ini saya rasa tiada lesen sedemikian dikeluarkan. Apa pun kita akan semak dan teliti terlebih dahulu, biar apa juga keputusan dan tindakan selanjutnya supaya ia lebih teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, antara isu lain yang akan turut dibawa ke peringkat perbincangan adalah mengenai penyelarasan dasar serta penguatkuasaan yang berkesan berkenaan penjualan produk tersebut di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin menyuarakan kebimbangan sekiranya langkah pengharaman diambil tanpa pengawasan rapi akam membuka ruang kepada aktiviti penjualan secara haram termasuk secara sembunyi dan menggunakan khidmat syarikat penghantaran.






