LANGKAWI: Malaysia akan meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengawasan canggih seperti penggunaan kenderaan autonomi tanpa pemandu (AUV) bagi memperkukuh keselamatan maritim negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, negara juga akan mempertingkat mekanisme perkongsian risikan dan melaksanakan lebih banyak latihan bersama tentera laut dengan rakan antarabangsa yang dipercayai bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap ancaman yang kian berkembang.
“Malaysia akan terus mempertingkat keupayaan angkatan laut dan penguatkuasaan maritim bagi melindungi kepentingan negara.
“Selain itu, kita perlu seiring dengan perkembangan teknologi canggih dan terkini yang dapat mengoptimumkan keupayaan menangani isu maritim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Maritim Malaysia (MMC) bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut komited memperkukuh kerangka perundangan bagi memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram, pencemaran marin dan pencerobohan kapal asing.
Katanya, dengan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan, Malaysia berhasrat memastikan akauntabiliti dan menghalang aktiviti maritim haram.
“Prosperiti ekonomi sebenar tidak dapat dicapai tanpa keselamatan maritim.
“Ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU), lanun, penyeludupan dan pencemaran laut, terus mencabar kedaulatan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan gangguan terhadap rantaian bekalan global, perubahan landskap geopolitik dan ancaman keselamatan yang terus berkembang, menggariskan keperluan kepada pendirian pertahanan maritim yang kukuh dan bersepadu.
