
PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) masih belum memberi impak dan dirasai masyarakat walaupun sudah dilaksanakan hampir setahun.
Ia menimbulkan persoalan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid sama ada agenda daripada pelan berkenaan telah benar-benar digarap.
“Alhamdulilah daripada kongres lalu, kita lahirkan satu pelan bersejarah PuTERA35 sebagai peta jalan baharu untuk memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.
“Namun sejujurnya saya ingin bertanya adakah kita benar- benar telah menggarap agenda itu? Adakah impak yang dijanjikan sudah dirasai oleh masyarakat? Jika tanya saya, belum lagi.
“PuTERA35 yang dihasilkan tidak boleh hanya menjadi hiasan dalam fail kabinet. Ia adalah komitmen nasional untuk memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi oleh bumiputera. Tetapi jika komitmen ini tidak diterjemahkan kepada tindakan, maka kita hanya membazir masa dan membazir kepercayaan rakyat,” katanya ketika berucap sempena Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 adalah satu kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Kerana itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu satu anjakan serius dilakukan agar hasrat besar KEB dapat diterjemahkan menerusi 132 ikhtiar di bawah PuTERA35.
“Saya mahu ia diberikan keutamaan penuh dan mesti ada keberhasilan. Kita perlukan garis masa yang jelas. Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam retorik tanpa kesudahan.
“Apabila saya melihat status pencapaian semasa saya dapati masih banyak yang belum digerakkan. Ini adalah dasar kerajaan jadi ia perlu menjadi kerangka utama bagi semua kementerian, bukan hanya Kementerian Ekonomi atau KKDW. Semua kementerian, tanpa pengecualian, mesti memain peranan aktif seperti yang telah diaspirasikan,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di setiap kementerian menyelaras dan memantau pelaksanaan PuTERA35.
Katanya, peranan tersebut akan diperkukuhkan oleh Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) yang harus distruktur semula mengikut kesesuaian masa kini selain mahu peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang lebih strategik.
“Saya menyeru agar semua GLC, GLIC dan entiti korporat strategik tampil sebagai rakan pelaksana utama. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah beri mandat yang jelas, GLC dan GLIC mesti melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dan memperluas rantaian nilai mereka.
“Hari ini juga kita akan mendengar dapatan penting berkenaan Pemerkasaan Tanah Bumiputera. Saya mahu potensi hartanah bumiputera yang tidak dimanfaatkan mesti dikenal pasti, dipulihkan dan dimobilisasi secara strategik,” ujarnya.
Sebagai langkah ke hadapan, Ahmad Zahid mengumumkan Sesi Pemukiman Kongres Ekonomi Bumiputera akan dijadikan sebagai acara tahunan tetap bagi melonjak semula agenda pembangunan bumiputera secara kolektif, merentas semua kementerian, agensi dan sektor.





