
KUALA LUMPUR : Ibu kepada pelajar perempuan yang maut dalam insiden tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama, menyentuh hati banyak pihak apabila meluahkan
akan sentiasa menyayangi dan merindui anaknya.
Malah dalam hantaran di Facebook, ibu kepada pelajar berusia 16 tahun itu menggambarkan anak perempuan bongsunya sebagai seorang yang comel, penyayang dan berdisiplin selain tidak pernah menyusahkan keluarga sejak kecil serta sentiasa prihatin terhadap ibu bapa dan orang lain.
Katanya, anaknya juga sentiasa bertimbang rasa, prihatin dan tidak pernah meminta apa-apa untuk dirinya sendiri.
“Mama akan sentiasa sayang dan sentiasa rindukan kamu.
“Dia sangat bijak dan penyayang, serta sangat disayangi ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Anak sebaik ini, tetapi menghadapi nasib begitu kejam… saya benar-benar tiada kata untuk diungkap, hati saya hancur,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan dan doa yang diberikan serta meminta agar semua terus mengirimkan doa kepada anak kesayangannya.
Ibu mangsa turut berkongsi butiran mengenai majlis pengebumian dan upacara persemadian yang akan diadakan pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan, pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin.






