
PETALING JAYA: Malaysia, melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza sebagai sokongan terhadap pelan damai yang bertujuan menamatkan konflik di Palestin.
Namun, pelaksanaan misi berkenaan masih bergantung kepada keputusan dan mandat yang akan ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ATM kini telah menyiapkan satu batalion yang terdiri daripada pegawai serta anggota tentera bagi tujuan penugasan ke wilayah bergolak itu.
“Kita memang sudah mendaftar untuk menghantar satu batalion ke Semenanjung Gaza, Palestin, ketika saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang mempunyai pasukan pengaman.
“Kita bersedia dan memang kita berhasrat untuk berada dan membantu situasi di Gaza, tetapi kita masih tunggu keputusan dari Majlis Keselamatan PBB.
“Kalau dia putuskan Malaysia dipilih untuk negara yang menghantar (pasukan pengaman), kita bersedia untuk menghantar satu batalion,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, di sini.
Walau bagaimanapun Mohamed Khaled berkata, pasukan yang dihantar tidak membabitkan Pasukan Pengaman Malaysia Batalion (MALBATT) yang bertugas di Pasukan Pengaman Malaysia di Lubnan (UNIFIL).
“Kita akan hantar batalion lain dan bukannya dari Lubnan, yang kita hanya tugaskan mereka setiap tahun untuk ditukarkan,” katanya.






