
KUALA LUMPUR – Lima komponen utama dikenal pasti sebagai teras kepada reformasi segera sistem pendidikan negara bagi memastikan sekolah menjadi persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera untuk semua warga sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara fokus utama inisiatif tersebut termasuk penekanan terhadap kesihatan mental pelajar, larangan tegas terhadap bahan terlarang dan berbahaya, serta penerapan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
Selain itu, reformasi berkenaan turut menekankan pelaksanaan Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) dan pengukuhan aspek bimbingan serta sokongan guru melalui Teacher Care and Support.
Menurut beliau, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarahkan untuk melaksanakan langkah pembaharuan ini secara menyeluruh di 10,243 sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan tersebut akan dipantau dan dinilai secara berkala setiap 15 hari bagi memastikan keberkesanannya.
“Dalam aspek kesihatan mental, pengukuhan dan intervensi kesihatan mental akan diberi keutamaan, khususnya pengukuhan ekosistem, sokongan kepada guru pembimbing dan kaunseling serta para murid, selain melibatkan Kementerian Kesihatan serta rakan strategik dalam bidang berkaitan,” katanya.
Fadhlina memberikan penjelasan itu sebagai menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd. Nor (PN), yang meminta penjelasan mengenai langkah segera dan menyeluruh yang diambil serta bakal dilaksanakan oleh kementerian bagi mengelakkan kejadian tragis seperti kes rogol pelajar di dalam kelas daripada berulang.
Penjelasan tersebut disampaikan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini






