
BALING: Polis mengesahkan penahanan empat remaja lelaki, terdiri daripada tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sebuah sekolah di daerah ini, berhubung kes rogol secara berkumpulan serta penyebaran bahan lucah melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 17 tahun.
Tiga daripada mereka masih bersekolah manakala seorang lagi merupakan bekas pelajar sekolah sama.
Tangkapan dibuat susulan laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun yang dimaklumkan oleh guru disiplin sekolah tersebut mengenai penularan video anak perempuannya dalam keadaan bogel.
Kejadian itu dimaklumkan kepadanya sekitar 11 pagi pada Ahad lalu.
“Pengadu kemudian membuat laporan polis pada 8.11 malam hari yang sama.
Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, pihak polis bertindak melakukan tangkapan terhadap kesemua suspek,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan serta turut melibatkan siasatan berkaitan penghantaran bahan pornografi kanak-kanak.
Sebelum ini, media melaporkan empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah di daerah ini telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian rogol berkumpulan dan menyebarkan video lucah yang kemudiannya tular di media sosial.





