
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam memastikan kelestarian alam dan tindakan terhadap perubahan iklim, sejajar dengan agenda transformasi hijau peringkat ASEAN.
Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kepimpinan Malaysia dalam hal ini perlu berpaksikan dasar, undang-undang dan perancangan ekonomi yang kukuh.
Katanya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan kelestarian, ekonomi hijau dan keterangkuman sebagai teras pertumbuhan negara.
Malah, Malaysia juga bakal memperkenalkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) sebagai rangka kerja penting untuk memperkukuh tadbir urus iklim, mewujudkan asas bagi pasaran karbon, serta memperkenalkan skim perdagangan pelepasan karbon di peringkat nasional.
Kerajaan kini dalam proses memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Negara, yang akan menggariskan kerangka pelaksanaan pasaran karbon patuh dan sukarela, disokong oleh sistem pengukuran, pelaporan dan pengesahan (MRV) yang kukuh.
“Dasar ini akan menggalakkan pelaksanaan projek kredit karbon dalam sektor seperti perhutanan, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi,” kata Johari.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, malah berpotensi menjana pendapatan baharu kepada kerajaan negeri, komuniti tempatan dan pelabur swasta.
“Kesemua ini mencerminkan bahawa peralihan hijau Malaysia adalah terancang, strategik dan mampan, sekali gus menjadi satu misi nasional jangka panjang berteraskan dasar yang mantap dan peluang ekonomi berterusan,” ujarnya.
Johari berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 yang turut berlangsung bersama Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS), di sini hari ini.
Johari turut menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan kuasa besar seperti Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Paris, yang menurutnya menggambarkan pola pemikiran berbahaya dan menjejaskan usaha iklim global.
“Ketika dunia memerlukan kepimpinan bagi melaksanakan reformasi iklim besar-besaran, tindakan mementingkan diri kuasa ekonomi utama memberikan isyarat negatif.
“Untuk ASEAN, ini bermakna kita harus menunjukkan komitmen dan kepimpinan bersama dalam mengejar masa depan rendah karbon dan lestari,” katanya.
Melalui KLSS, Malaysia menyelaraskan tiga keutamaan utama rantau ini dalam isu iklim: penyesuaian, mitigasi dan daya tahan. Manakala melalui IGEM, perbincangan dasar diterjemahkan kepada projek nyata dan perkongsian teknologi.
IGEM mempamerkan pelbagai teknologi termasuk tenaga bersih, mobiliti lestari, pengurangan sisa, pengurusan karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Kata Johari, platform IGEM bukan sahaja untuk syarikat besar tetapi juga memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.





