
KUALA LANGAT: ‘Mujurlah kami sempat berlindung di bawah meja daripada ditimpa dinding yang runtuh’.
Itu reaksi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Zurihan Yusop, ketika menceritakan detik cemas apabila bangunan Pejabat Penyelaras DUN di Dewan Wawasan Kampung Medan musnah dalam kejadian puting beliung petang semalam.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang petang ketika beliau bersama sembilan kakitangan bermesyuarat di dalam bangunan tersebut.
“Ketika mesyuarat berlangsung, kami dikejutkan dengan bunyi angin yang sangat kuat. Dalam tempoh tiga hingga empat saat sahaja, seluruh bangunan runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Zurihan berkata, semua yang berada dalam bangunan bertindak pantas berlindung di bawah meja bagi mengelakkan kecederaan akibat runtuhan struktur bangunan.
Bagaimanapun, seorang kakitangan wanita mengalami kecederaan serius di bahagian paha kanan selepas dipercayai terkena serpihan kaca.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Klang dan menjalani pembedahan selama enam jam malam tadi,” katanya.
Beliau berkata, kerosakan turut dialami premis lain di sekitar kawasan terbabit termasuk beberapa sekolah berhampiran seperti Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan Kampung Medan dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan.
“Dianggarkan lebih 30 rumah penduduk turut terjejas akibat kejadian ini, dengan 10 daripadanya disahkan tidak selamat untuk didiami. Mangsa yang terlibat telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” katanya.
Pihaknya kini berurusan dengan beberapa agensi berkaitan bagi menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa terjejas.
“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terkesan. Diharap semua mangsa dapat bersabar.
“Bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah, sila buat laporan polis bagi memudahkan proses bantuan,” katanya.
Semalam, beberapa kawasan sekitar Meru dan Kuala Langat di Selangor dilanda ribut kuat yang disertai fenomena puting beliung, mengakibatkan kerosakan besar pada kediaman, sekolah dan kenderaan penduduk.
Video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan besi penghadang jalan turut diterbangkan ke udara, manakala atap dan dinding beberapa bangunan sekolah tercabut dan runtuh akibat kekuatan angin luar biasa.







