
ALOR GAJAH: Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat kes rogol seorang pelajar perempuan tingkatan 3 di sebuah sekolah di sini, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak semalam.
Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun dan merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berdepan tiga pertuduhan iaitu merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, serta melakukan amang seksual fizikal.
Dalam prosiding tersebut, hanya seorang daripada tertuduh mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 30 tahun.
Pertuduhan kedua pula, mereka dituduh melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan ketiga, kedua-duanya menghadapi tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman serupa jika disabitkan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kelas di sekolah di Alor Gajah, pada 30 September lalu, sekitar pukul 2.50 petang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar, yang mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan kerana seriusnya kes tersebut.
Bagaimanapun, peguam tertuduh pertama, Chua Yong Yi, merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya baru selesai menjalani pembedahan sinus dan turut menghidap penyakit hernia.
Tertuduh kedua pula, yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, turut memohon jaminan rendah dan bersedia mematuhi apa-apa syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Majistret Teoh Shu Yee membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan RM7,000 setiap seorang.
Mahkamah menetapkan 26 November sebagai tarikh sebutan semula kes, melibatkan serahan dokumen kepada tertuduh pertama serta penyerahan laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum hukuman dijatuhkan.







