
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah tulang belakang kerjasama serantau yang menghubungkan kemampanan, keselamatan dan kemampuan.
Beliau berkata, ia akan membolehkan negara-negara ASEAN memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menyalurkan tenaga elektrik rentas sempadan dengan lebih cekap.
“Pelaksanaan APG bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya lambang keupayaan ASEAN bergerak sebagai satu entiti tenaga yang bersepadu.
“Projek ini akan memperkukuh integrasi serantau, menarik pelaburan grid, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta menjadikan ASEAN hab industri dan teknologi tenaga bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF 2025) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Beliau memberitahu, jaringan tenaga elektrik serantau yang mula dirancang lebih dua dekad lalu kini menjadi antara kejayaan terbesar kerjasama ASEAN di bawah kepemimpinan Malaysia dan negara anggota lain.
Anwar berkata, Malaysia komited sepenuhnya terhadap agenda bersama ini, dan dengan tindakan bersama, rantau ini boleh mengimbangi trilema tenaga serta mengukuhkan pertumbuhan ASEAN untuk beberapa dekad akan datang.
“Malaysia bersama Singapura dan Thailand sudah menjadi sebahagian daripada Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) yang membolehkan perdagangan tenaga pelbagai hala.
“Kini, fasa baharu membabitkan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina akan memperluas capaian APG.
“Kita mesti menggandakan usaha, mempercepatkan projek sambungan, menyelaras rangka kerja kawal selia dan memperdalam kerjasama awam-swasta,” katanya.
Beliau berkata, cabaran adalah dalam memastikan semua keputusan dapat dilaksanakan segera menjelang mesyuarat seterusnya di Manila, Filipina pada tahun depan.




