
KUALA LUMPUR: Isu Rohingya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk rakyat memboikot sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya perayaan kemerdekaan perlu dijadikan ruang menyemarakkan kecintaan terhadap tanah air.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemerdekaan negara tidak wajar disandarkan kepada emosi atau sentimen terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam negara.
Menurutnya, rakyat tetap mempunyai tanggungjawab untuk menghargai dan mempertahankan negara walaupun terdapat perkara tertentu yang tidak dipersetujui.
“Malaysia ini tanah tempat tumpah darah kita, Malaysia rumah kita.
“Resmi tuan rumah, kita tidak akan berhenti menjaga dan menghiasi rumah hanya kerana tidak bersetuju dengan kehadiran pihak tidak kita undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan, semalam.
Mohamed Khaled berkata, rakyat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada negara hanya disebabkan rasa tidak puas hati terhadap isu tertentu.
Sebaliknya, katanya, sambutan Hari Kebangsaan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh semangat patriotisme dan kecintaan terhadap Malaysia.
“Jadi, janganlah lepaskan peluang menzahirkan rasa kasih dan sayang pada tanah air hanya kerana kita tidak berpuas hati dengan sesetengah isu melanda negara.
“Sebaliknya, jadikan ruang dan peluang ini untuk menebalkan rasa kecintaan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, semangat patriotisme yang ditunjukkan rakyat juga penting sebagai isyarat bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan negara menjadi medan politik dan polemik mana-mana pihak.
“Setidak-tidaknya, patriotisme membara akan menjadi petunjuk kepada semua pihak di dalam dan luar negara, bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan tanah airnya menjadi medan politik dan polemik mana-mana pihak,” katanya.
Kenyataan itu susulan gesaan segelintir pengguna media sosial sebelum ini yang meminta rakyat memboikot sambutan Hari Kebangsaan.
Ada juga pihak yang mencadangkan peserta hadir ke Dataran Putrajaya dengan membawa sepanduk berbaur sindiran atau tuntutan berkaitan isu Rohingya.
Mohamed Khaled menegaskan perbezaan pandangan terhadap sesuatu isu tidak seharusnya menghakis semangat cintakan negara.
Sambutan Hari Kebangsaan, katanya, wajar kekal menjadi wadah untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang bersatu menzahirkan penghargaan terhadap kemerdekaan dan kedaulatan negara.






