
KUALA LUMPUR: Sebarang pelawaan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kembali menyertai parti itu tidak pernah dimaklumkan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Ada orang jemput ke? Ada pelawaan? Saya tidak dimaklumkan,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Expo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Selasa lepas, Mohamed Azmin yang kini Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan berkata beliau tidak akan sesekali kembali menyertai PKR meskipun terdapat pelawaan kepada bekas ahli parti itu untuk berbuat demikian.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, dilaporkan dijangka menyertai semula PKR.
Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan kembali menyertai parti itu.






