
ALOR SETAR: Semangat patriotisme warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bohor di sini dizahirkan secara luar biasa apabila seluruh warga sekolah berganding bahu menghasilkan Jalur Gemilang gergasi bersempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Guru Besar SK Bohor Hazrina Harun berkata Jalur Gemilang berukuran lapan meter lebar dan 20 meter panjang yang mengambil masa lebih dua minggu untuk dihasilkan itu dijahit sendiri oleh barisan guru dan kakitangan sekolah selepas tamat sesi persekolahan.
“Idea menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini tercetus secara spontan hasil perbincangan bersama guru-guru. Sebanyak 27 guru dan tujuh Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) berganding bahu bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk melaksanakan projek ini.
“Jumlah kain yang digunakan dianggarkan sebanyak 400 meter dengan kos kira-kira RM1,000,” katanya sempena Sambutan Pra-Ambang Kemerdekaan Hari Kebangsaan serta Peluncuran Bendera Gergasi Jalur Gemilang di SK Bohor di sini hari ini.
Beliau berkata simbolik penghasilan bendera gergasi itu adalah sebagai lambang kedaulatan dan perpaduan demi menyemarakkan rasa cinta akan negara dalam kalangan murid, warga sekolah serta masyarakat setempat.
“Saya tidak mampu bergerak tanpa guru-guru sekolah ini, mereka memberikan komitmen yang sangat tinggi. Mereka membeli kain dan menjahit bendera ini selepas waktu sekolah bermula dari pukul 2 petang hingga 7 malam.
“Sebagai guru besar baharu di sini, saya amat menghargai komitmen luar biasa guru-guru. Ini adalah usaha murni untuk menaikkan semangat patriotik anak-anak murid, termasuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya.
Hazrina berkata penghasilan bendera gergasi itu juga adalah antara usaha untuk menonjolkan potensi SK Bohor, iaitu antara sekolah kecil di daerah Kota Setar yang mempunyai 258 murid, termasuk 54 murid PPKI.
Sementara itu, guru prasekolah PPKI SK Bohor Mohd Tarmizi Rohani yang mengetuai projek itu berkata cabaran utama sepanjang proses menyiapkan bendera gergasi berkenaan adalah ia dihasilkan dengan 100 peratus kaedah jahitan fabrik tanpa melibatkan penggunaan cat.
“Bendera ini dijahit oleh guru-guru, ada yang sanggup membawa mesin jahit sendiri ke sekolah dan membawa pulang baki helaian kain untuk menyambung jahitan di rumah sendiri. Kami juga perlu memastikan ukuran kedudukan bulan dan 14 bucu bintang dijahit dengan tepat serta kemas,” katanya.
Beliau berkata kedudukan SK Bohor yang terletak di laluan utama untuk ke pusat bandar raya dan hospital menjadikan kibaran bendera gergasi itu sebagai satu tarikan visual yang mampu menyuntik semangat kemerdekaan kepada orang ramai yang melalui kawasan itu. – BERNAMA




