
KUALA LUMPUR: Seramai 17 rakyat Malaysia yang melancong di Nepal masih belum dapat dihubungi selepas kawasan Rasuwa dilanda banjir dahsyat.
Kesemua mereka dipercayai bergerak bersama dalam satu kumpulan menggunakan enam kenderaan ketika kali terakhir dikesan berhampiran Timure, kawasan yang terletak berdekatan sempadan Nepal-China.
Wakil agensi pelancongan berpangkalan di Nepal, Fishtail Tours & Travels, Roshan Panday berkata, pihaknya kali terakhir berjaya menghubungi seorang daripada anggota kumpulan berkenaan pada 8.18 pagi waktu tempatan, bersamaan 10.18 pagi waktu Malaysia.
Menurutnya, ketika komunikasi terakhir itu, kumpulan berkenaan sedang dalam perjalanan menghampiri kawasan sempadan berhampiran Timure.
“Mereka bergerak bersama dalam satu kumpulan. Sebanyak enam kereta tetapi semuanya bersama,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.
Namun, selepas komunikasi terakhir itu, kesemua 17 rakyat Malaysia berkenaan gagal dihubungi.
Pihak agensi kini giat menjalankan usaha mengesan keberadaan kumpulan terbabit, namun operasi berdepan kesukaran berikutan kemusnahan teruk akibat banjir.
Roshan berkata, laluan ke kawasan berkenaan terputus selepas jalan raya dihanyutkan banjir, sekali gus menyukarkan pasukan penyelamat untuk memasuki kawasan terbabit melalui jalan darat.
“Tiada akses jalan raya kerana semuanya dihanyutkan,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menggunakan pelbagai kaedah termasuk menghantar helikopter ke kawasan berkenaan semalam bagi membantu operasi pencarian.
Dron turut digunakan untuk melakukan tinjauan dari udara bagi mengesan kedudukan kumpulan pelancong Malaysia terbabit.
“Kami sudah menghantar helikopter, selain menggunakan dron dan segala kaedah yang ada,” katanya.
Menurut Roshan, usaha mendapatkan semula akses darat ke kawasan terjejas dijangka mengambil tempoh yang panjang.
Katanya, kerja membina semula jalan raya yang musnah akibat banjir mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.
Keadaan itu menyebabkan pengangkutan udara menjadi kaedah utama buat masa ini bagi membolehkan pasukan berkaitan memasuki kawasan terbabit dan meneruskan usaha mengesan 17 rakyat Malaysia berkenaan.
Operasi pencarian kini diteruskan bagi mengetahui keadaan dan lokasi sebenar kesemua mereka selepas terputus hubungan dalam kejadian banjir berkenaan.







