
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak cemas sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk jet pejuang, terbang rendah di ruang udara sekitar Lembah Klang.
Menerusi kenyataan, TUDM memaklumkan akan melakukan penerbangan rendah itu hingga 26 Jun ini sempena Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara Ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
“TUDM akan melaksanakan penerbangan secara taktikal membabitkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter itu di Pangkalan Udara (PU) Subang pada 26 Jun ini.
“Sepanjang tarikh dinyatakan itu, pesawat TUDM terbabit akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu.
“Kawasan terbabit khususnya di sekitar ruang udara Subang, Selangor, adalah bagi melaksanakan terbang lintas untuk perbarisan berkenaan,” menurut kenyataan itu.






