
KUALA LUMPUR: Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 melabuhkan tirai semalam dengan mencatat jumlah penyertaan mencecah 3.2 juta di seluruh negara dan ASEAN.
Ia sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak satu juta penyertaan sepanjang penganjuran NTW 2025 bermula pada 14 hingga 22 Jun itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, NTW 2025 telah mencatatkan kejayaan luar biasa.
“Sepanjang minggu ini lebih 3.2 juta rakyat Malaysia telah mengikuti pelbagai bentuk latihan secara fizikal dan dalam talian.
“NTW 2025 menawarkan lebih daripada 71,000 latihan percuma ditawarkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan rakan strategik,” katanya pada Majlis Penutup NTW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh, Perak semalam.
Majlis penutup berkenaan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Azman menambah, sebanyak 1,000 sesi latihan dan program kerjasama serta program berimpak tinggi telah dijalankan serentak di seluruh negara.
Katanya, lebih membanggakan penganjuran NTW 2025 telah menerima dua anugerah Malaysia Books of Records (MBR) iaitu Largest Educators Participation in AI Training Program dan Modul Latihan Penyertaan Pelajar Terbesar dalam Kerangka Kerja Kemahiran Industri (IndSF)
“Pencapaian dan kejayaan ini jelas menunjukkan rakyat negara ini dan ASEAN bersedia untuk melangkah ke hadapan, membina masa depan yang lebih kompeten, versatil serta berdaya saing.
“Misi ini telah direalisasikan oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi KESUMA terutama HRD Corp yang merupakan agensi bertanggungjawab menawarkan program upskilling serta reskilling kepada pekerja malah bakat-bakat negara melalui skim levi majikan dan inisiatif-inisiatif strategik lain,” jelas beliau.

Sementara itu, program Jelajah Pembelajaran NTW 2025 yang berlangsung di pelbagai negeri seperti Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Sabah berakhir dengan sambutan majlis penutup di ICC.
Majlis Penutup NTW 2025 turut menampilkan kelas latihan fizikal melibatkan lebih 1,000 peserta termasuk kursus asas gunting rambut dikendalikan Akademi Nimroc, kursus asas barista oleh Kumpulan Kompas, kursus asas bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan defibrilator luaran automatik (AED), kursus dekorasi kek serta banyak lagi.
Pengunjung juga berpeluang mengikuti pelbagai forum, ceramah dan sesi kaunseling meliputi topik seperti penipuan dalam talian, pembangunan wanita, pengurusan kredit dan ceramah agama oleh Datuk Ustaz Kazim Elias.
Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menganjurkan karnival kerjaya MYFutureJobs yang menawarkan lebih 1,866 peluang pekerjaan daripada 17 majikan terkemuka meliputi 88 jawatan kosong untuk para pengunjung.
Aktiviti menarik lain termasuk demonstrasi realiti maya (VR), kelas berasaskan kecerdasan buatan (AI), kelas dan demonstrasi asas dron, pertandingan e-sukan, kelas terrarium, kelas dan demonstrasi muzik, demonstrasi seni doodle dan batik, pameran batik dan pertandingan mewarna.

NTW 2025 telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Walaupun tirai NTW dilabuhkan semalam, namun kursus-kursus latihan akan kekal tersedia secara dalam talian sepanjang tahun untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini dan ASEAN untuk terus belajar mengikut keselesaan serta keperluan masing-masing melalui portal NTW.
Untuk maklumat lanjut mengenai NTW 2025 dan akses kursus latihan percuma, boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my.






