KUALA LUMPUR: Teka-teki pengganti Tan Sri Razarudin Husain akhirnya terjawab selepas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.
Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saifuddin berkata, keputusan melantik Mohd. Khalid secara kontrak hingga 22 Jun 2027 dibuat berdasarkan kompetensi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.
“Kerajaan Madani menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Mohd. Khalid atas pelantikan sebagai KPN secara kontrak selepas bersara.
“Beliau memiliki daya kepemimpinan yang tinggi serta komitmen yang terbukti dalam menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada KPN ke-14, Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang perkhidmatannya sejak 23 Jun 2023.
“Bagi pihak Kerajaan Madani, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepadaRazarudin atas segala sumbangan beliau memimpin PDRM dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
“Khidmat beliau sepanjang menerajui pasukan menjadi landasan kukuh dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan PDRM,” katanya.
Mohd. Khalid menyertai PDRM pada 5 April 1987 dan memulakan tugas di Cawangan Khas, Bukit Aman. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjawat jawatan utama termasuk Timbalan Pengarah Cawangan Khas I serta Pegawai Perhubungan Keselamatan di London, United Kingdom.
Mohd. Khalid dinaikkan sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025, namun perkhidmatannya disambung secara kontrak hingga kini.
