BUKIT MERTAJAM: Seorang ejen insurans di Perai, di sini, kerugian hampir RM1.5 juta akibat terperdaya dengan penipuan pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan keuntungan segera.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata insiden bermula Disember lalu apabila mangsa lelaki berusia 57 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan dalam Facebook.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum diberikan penerangan mengenai tawaran pelbagai pakej yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Mangsa berminat menyertai pelaburan itu sebelum diminta memuat turun satu aplikasi bagi mendaftarkan diri sebagai ahli.
“Pada 30 Disember tahun lalu, mangsa telah membuat pindahan wang pertama sebanyak RM9,999 dan memperoleh keuntungan RM18,400,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang meyakini pelaburan itu terus melabur hampir RM1.5 juta melalui 35 transaksi antara 17 Februari hingga 24 April lalu ke dalam tujuh akaun bank milik syarikat berbeza.
“Bagaimanapun, dia kemudian mengesyaki dirinya ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan itu.
“Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
