
KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan maut, manakala adik perempuannya parah selepas dirempuh motosikal ketika melintas jalan di Jalan UMS, berhampiran Plaza Alam Mesra, di sini, semalam.
Ketika kejadian, dua beradik berusia 18 dan 14 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Delima, Manggatal, pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian membabitkan dua pejalan kaki dan dua motosikal.
“Kemalangan berlaku apabila seorang penunggang motosikal wanita dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya menuju ke Sepanggar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua beradik berkenaan tiba-tiba melintas jalan dari arah kanan ke kiri.
“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua pejalan kaki tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pelanggaran itu menyebabkan seorang daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi parah dan dihantar ke hospital.
Kasim berkata, kemalangan itu turut melibatkan sebuah lagi motosikal yang tidak dapat dipastikan jenis dan nombor pendaftarannya.
“Bagaimanapun penunggang motosikal berkenaan melarikan diri dari lokasi kejadian dan identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya.





