
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal menganjurkan Karnival Hari Pekerja sempena Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 pada 28 April hingga 1 Mei ini.
Karnival itu akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil dengan menawarkan 10,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, program itu bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan memeriahkan suasana sepanjang empat hari karnival itu berlangsung.
Sambutan ini juga sebagai menzahirkan penghargaan terhadap jasa para pekerja sebagai tulang belakang negara dan pelaksana agenda Malaysia MADANI yang mengangkat prinsip kemampanan, keadilan dan kesejahteraan.

Sebagai satu inisiatif penting ke arah pendigitalan sistem buruh negara, KESUMA akan melancarkan secara rasmi aplikasi MYFutureJobs versi mudah alih. Aplikasi ini bakal menjadi alat utama bagi memperkasa pencari kerja dengan padanan pekerjaan yang lebih pantas dan efisien serta notifikasi segera tentang peluang pekerjaan.
Pelancaran ini dilihat sebagai satu langkah strategik dan progresif dalam menyokong ekosistem pekerjaan digital yang lebih inklusif dan mampan, selaras dengan hasrat Malaysia MADANI.
Selain menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, karnival ini turut menawarkan diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus.
Berikut merupakan antara aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung:
- Karnival Kerjaya Mega -Temuduga terbuka bersama 39 majikan (10,000 kekosongan jawatan penyelia ke atas)
- Pocket Talks (8 topik semasa termasuk scammer, kesihatan mental, Wanita kembali bekerja, jenayah siber, revolusi pencegahan jenayah)
- Reruai interaktif daripada kementerian dan agensi.
- Demonstrasi kemahiran dalam pelbagai bidang (kulinari, dron, florist, mekatronik)
- Anugerah Hari Pekerja, meraikan wira dunia pekerjaan.
- Run & Ride PERKESO (20 April di Putrajaya)
- Forum Perdana Ehwal Islam (8 Mei, RTM TV1)
- Pendaftaran MyJPJ, semakan dan bayaran saman, khidmat informasi mySIKAP, pembaharuan cukai jalan kenderaan dan lesen memandu oleh JPJ.





