PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan menerima penghargaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kecemerlangan aspek kawalan keselamatan semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri memaklumkan Xi juga berterima kasih kerana negara memberikan kawalan keselamatan luar biasa sepanjang keberadaannya di negara ini.
“Alhamdulillah, pada akhir lawatan (Presiden Xi) malam itu, saya baca WhatsApp Perdana Menteri kepada kumpulan Kabinet.
“Apa yang dibisikkan oleh Presiden Xi sebelum dia naik kapal terbang dan Perdana Menteri menghantarnya, dia cakap terima kasih kerana kawalan keselamatan yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Saifuddin berkata, PDRM dan agensi berkaitan melaksanakan tugas kawalan keselamatan terhadap tetamu negara dengan amat baik dan cemerlang.
“Memang kawalan yang luar biasa. Kawalan dengan ditutup di jalan dengan helikopter, penginapannya kita ada tiga lapisan (keselamatan),” katanya.
Terdahulu, Presiden Xi mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
