KUALA TERENGGANU: Tiada tolak ansur bagi mana-mana kakitangan awam yang membuat komen jelik kepada kerajaan.
Itu tegas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat kepada penjawat awam termasuk majikan yang menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.
Beliau menegaskan, amalan komen jelik terhadap majikan dan kerajaan merupakan amalan yang tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya berkrompomi.
“Perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam dan membuka ruang kepada mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati.
“Kerajaan sentiasa terima pandangan, permintaan dan sebagainya, selain sebahagian permintaan kita sudah pun dipenuhi kerajaan.” katanya ketika sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya, di Chendering.
Tambah Adnan, CUEPACS menyokong sebarang tindakan disiplin diambil ketua perkhidmatan terhadap penjawat awam yang mengeluarkan komen jelik kepada kerajaan supaya penularan isu itu di media sosial tidak berterusan berlaku.
Setakat ini, pihaknya dimaklumkan hanya satu kes komen jelik berlaku di Kelantan yang dilakukan kakitangan awam.
“Mungkin persekitaran berbeza, tetapi sama ada kita berada di persekitaran macam mana sekalipun, sama ada kita ada dalam persekitaran politik berbeza sekalipun penjawat awam hendaklah terus kekal taat setia kepada majikan.
“Jika tidak puas hati salur kepada CUEPACS yang sentiasa mendengar keluh-kesah penjawat awam,” katanya.
