
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian khusus bagi menyelaras tindakan memastikan kestabilan harga dan keberadaan bekalan di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memperkasa serta menstruktur kerjasama rentas kementerian yang digerakkan secara ‘ad hoc’ setiap kali menjelang musim perayaan.
Beliau berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, yang akan berlangsung bulan depan.
Katanya, ia turut disertai wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, agensi serta industri berkaitan dengan jawatankuasa akan bersidang setiap dua bulan.
“Tujuan penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk menambah baik bentuk kerjasama kepada gerak kerja yang lebih strategik dan berterusan melalui mesyuarat serta pelaporan berkala.
“Jawatankuasa teknikal ini juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal bagi memastikan isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani dengan cekap serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Armizan, pemantauan akan dilaksanakan terhadap barangan seperti daging, ayam, telur, ikan, sayur-sayuran, beras, minyak masak dan barang keperluan asas lain yang menjadi permintaan pengguna.
“Sekiranya dikesan wujud isu yang membabitkan harga dan bekalan di pasaran, pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan,” katanya.
Tambahnya, penubuhan jawatankuasa itu merupakan pendekatan menyeluruh dalam mengurangkan isu terkait harga dan bekalan, sekali gus membantu menangani kos sara hidup rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani.






