PUTRAJAYA: Malaysia dan China bersetuju melanjutkan program pengecualian visa bagi tempoh 90 hari secara bersama untuk tempoh lima tahun lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata persetujuan itu dicapai melalui memorandum persefahaman (MoU) ketika kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini minggu lalu, dengan negara itu juga bersetuju melaksanakan pengecualian sama secara timbal balik.
“Ketika kunjungan Presiden Jinping, satu daripada 31 MoU yang kita tandatangan adalah berkaitan visa dengan yang baharu kita lanjutkan untuk lima tahun ke depan dan sejurus tamatnya itu, pilihannya adalah sambung lagi lima tahun.
“(Melalui MoU itu) tempoh 90 hari keberadaan rakyat China ke negara kita sebagai pelancong dan timbal balas yang sama juga bagi kita (pelancong Malaysia di China),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antaranya perjanjian pengecualian visa.
Saifuddin Nasution berkata, pengecualian visa bersama China yang dilaksanakan secara percubaan pada hujung 2023 memberi impak besar dalam merangsang sumbangan ekonomi melalui kunjungan pelancong dari negara itu.
Beliau berkata, China menyumbang antara jumlah pelancong tertinggi ke Malaysia.
Malah, katanya sehingga bulan ini kedatangan rakyat negara itu ke sini sudah mencecah 900,000, manakala sepanjang tahun lalu adalah empat juta.
“Dalam tempoh itu (pelaksanaan pengecualian visa sebelum ini), apa kita perhatikan adalah impak kemasukan pelancong dari China itu meningkat. Dari segi nilai ekonomi, bagi setiap seorang pelancong dari China membelanjakan kira-kira RM7,000, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ada formulanya.
“Jadi pelancongan tetap komponen penting yang menyumbang ekonomi negara kerana kesannya adalah segera berbanding pelaburan lain. Jadi peranan kita adalah untuk memudah cara kerana kawal selia urusan visa adalah di bawah KDN,” katanya.
