
KUALA LUMPUR: Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 mencapai matlamat apabila lebih 5,000 pengunjung memenuhi Axiata Arena Bukit Jalil sepanjang karnival itu berlangsung dari 28 April shingga 1 Mei lalu.
Pegawai Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang merangkap Urusetia Induk Pameran dan Demonstrasi karnival, Mohd Idzuan Afiq Mohd Ridzuan berkata, sambutan menggalakkan itu menunjukkan matlamat dan visi kementerian sampai kepada orang ramai terutamanya kepada golongan yang mencari pekerjaan.
“Sepanjang empat hari karnival ini berlangsung, semalam (Khamis) paling ramai pengunjung datang. Mereka ambil kesempatan cuti Hari Pekerja untuk cari peluang pekerjaan yang ditawarkan pelbagai syarikat yang terlibat.

“Karnival itu tidak hanya dihadiri oleh golongan yang mencari kerja, bahkan menjadi perhatian mereka yang sudah mempunyai pekerjaan dan mahu mencuba bidang lain dalam kerjaya.
“Karnival itu juga mempunyai nilai tambah apabila memberi sesi khidmat nasihat terutama berkaitan bidang kerjaya bersesuaian dengan personaliti dan kelulusan serta demonstrasi menghasilkan resume yang kukuh untuk menambat hati majikan berpotensi,” katanya kepada Ceritera.
Antara syarikat yang tidak pernah melepaskan peluang menyertai karnival itu setiap tahun adalah Prasarana Malaysia Bhd, malah reruainya sentiasa dikunjungi orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai maklumat.
Pengurus Pengambilan Pekerja Prasarana, Izzarul Shazwan Khairul Azizan berkata, kekosongan jawatan jurutera projek antara paling mendapat perhatian dan menerusi karnival ini, pihaknya boleh terus menilai calon berpotensi untuk diambil bekerja.

“Sambutan sangat menggalakkan, Prasarana kini banyak menawarkan pekerjaan yang melibatkan ‘rail related’ projek di Johor.
“Kami tidak hanya melihat kepada pelajar yang baru tamat pengajian, malah kami juga menggalakkan penglibatan golongan pekerja berpengalaman untuk memohon.
“Inisiatif KESUMA dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini merupakan situasi menang-menang untuk syarikat dan juga mereka yang mencari peluang pekerjaan,” katanya.
Eksekutif Sumber Manusia Harta Maintenance Sdn Bhd, Nur Farahin Mohd Rafiee pula berkata, pihaknya turut mengambil calon orang kurang upaya (OKU) yang berminat untuk berkhidmat.

Katanya, syarikat tidak pernah melakukan diskriminasi sebaliknya memberi peluang sama adil kepada semua golongan yang berusaha mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Menerusi karnival itu, seramai 236 individu diterima bekerja menerusi sesi temuduga ‘on the spot’.
Karnival tersebut menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan 158 majikan, meningkat 53.4 peratus berbanding penganjuran tahun lalu.
Inisiatif itu digerakkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).






