PUTRAJAYA: Tiada tindakan dikenakan kepada farmasi atau fasiliti kesihatan swasta yang dikenal pasti tidak meletakkan tanda harga ubat dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan inisiatif tersebut.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Azuana Ramli berkata, tempoh tiga bulan itu berfungsi sebagai ‘tempoh berlembut’ untuk memberi advokasi kepada fasiliti terlibat sebelum tindakan penguatkuasaan dimulakan.
Katanya, fasa ini akan menjadi proses bagi kerajaan serta pemegang taruh untuk belajar dan menjelaskan perkara yang perlu dilakukan.
“Pada masa sama, kami juga akan melihat bagaimana perintah itu dilaksanakan. Justeru itu, tiada hasrat untuk mengenakan sebarang tindakan sepanjang tempoh terbabit termasuk mengeluarkan saman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media berhubung inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) di sini hari ini.
Azuana berkata, selepas tamat tempoh tiga bulan tersebut, kementerian akan mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh advokasi berkenaan.
“Tindakan serta denda yang boleh dikenakan kepada pihak tidak mematuhi paparan harga terbabit ada dinyatakan dalam perintah berkenaan. Namun dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan ini, kami akan semak semula setakat mana pencapaian kebolehlaksanaan perintah itu.
“Dari situ, kami akan lihat semula sama ada terdapat keperluan untuk menambah tempoh atau terus melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh,” katanya.
