
SEPANG: Kumpulan pertama jemaah haji bagi di bawah kelolaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini.
Kesemua 351 Jemaah itu berlepas menerusi penerbangan Saudia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6 pagi hari ini.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, pelepasan itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 573 jemaah melibatkan beberapa penerbangan ke Tanah Suci secara berfasa.

Beliau berkata, kumpulan pertama itu akan tiba di Madinah terlebih dengan situasi di sana dijangka kurang sibuk dan tidak terlalu ramai orang ketika ini.
“Sekarang baru fasa ketibaan para Jemaah dari seluruh dunia dan suasana belum benar-benar sibuk, jadi saya harap jemaah Andalusi berasa selesa sepanjang berada di Madinah.
“Kita juga memuji Arab Saudi kerana memberi layanan baik khususnya kepada para jemaah Malaysia,” katanya kepada media di Hotel Movenpick di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyantuni kumpulan pertama jemaah haji Andalusia yang mendaftar masuk di hotel tersebut sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Md Daud juga menasihatkan jemaah supaya berhati-hati dengan kegiatan penipuan atau membabitkan ibadah haji.
“Contoh ada orang pergi ke Tanah Suci sebulan lalu dengan visa umrah, sampai di sana mereka bersembunyi di kampung-kampung.
Dua hari nak pergi wukuf mereka keluar balik.
“Mereka memang tak ada kebenaran visa haji (tidak ada tasrih). Andai mereka tertangkap mereka akan didenda dan terus dihantar pulang serta-merta, itu sungguh memalukan diri sendiri dan juga negara.
“Oleh hal yang demikian, jangan cuba-cuba untuk menunaikan haji tanpa permit yang sah. Jika pergi Tanah Suci menggunakan agensi swasta, pastikan ia berdaftar dan operasinya sah,” katanya.





