SUBANG: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka mempertingkatkan kesiapsiagaan menerusi perolehan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkembangan pembinaan aset itu adalah memuaskan dengan LCS pertama dijadual diterima pada Ogos tahun depan, manakala LMS pada 2027.
“Kerajaan sentiasa ingin meningkatkan keupayaan TLDM dan sebab itulah kita dapat lihat komitmen itu melalui perolehan LCS dan LMS.
“Selain memastikan TLDM memiliki aset, kita juga mahu ia dilengkapi teknologi tinggi yang memenuhi keperluan pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan studio digital di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang di sini, hari ini.
Ia bagi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai cabaran dihadapi TLDM berikutan aset armada tempurnya yang semakin berusia.
Menurut Adly, kapal LCS pertama kini sedang melalui ujian di pelabuhan dan laut, manakala LMS sedang dalam pembinaan selepas perolehan daripada syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), dimuktamadkan pada Jun tahun lepas.
