SUBANG JAYA: Pengurus pemaju hartanah trauma selepas Mercedes E200 miliknya disimbah cat kelabu di kediaman di Putra Heights di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian pukul 7.45 pagi, lelaki berusia 53 tahun itu melihat seorang lelaki tidak dikenali menyimbah cat ke arah keretanya.
Menurut sumber, kediaman mangsa mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak berfungsi.
“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Putra Heights untuk siasatan lanjut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa mendapati kereta yang diparkir di halaman rumah terkena cat berwarna kelabu.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati hampir keseluruhan keretanya terkena simbahan cat.
“Semakan CCTV di pondok pengawal mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali berjalan sambil membawa beg di kawasan perumahan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek dan motif kejadian belum dikenal pasti serta kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
