
KUALA LUMPUR: Seramai 11 lelaki warga asing mengalami sesak nafas susulan kebakaran kereta di parkir tingkat bawah tanah sebuah kondominium di Wangsa Maju, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, kebakaran membabitkan bahagian enjin kereta Nissan Teana dan asap kebakaran itu memenuhi ruangan berkenaan.
“Dalam kejadian ini, seramai 11 mangsa lelaki dewasa warga asing mengalami sesak nafas akibat kejadian itu dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Seramai enam daripada mangsa terbabit dihantar menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua mangsa dihantar menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Wangsa Maju manakala selebihnya menaiki ambulans HKL.
“Unit Siasatan Kebakaran PGOKL diarah ke lokasi bagi menjalankan siasatan punca kejadian,” menurut kenyataan itu.






