
LANGKAWI: Seorang lelaki bersenjatakan parang dan menggunakan serbuk cili untuk merompak sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah, Kuah, di sini, semalam.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pukul 11.48 pagi sebelum suspek dipercayai seorang lelaki tempatan diberkas polis berhampiran tempat kejadian tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketika kejadian premis berkenaan dikendalikan seorang lelaki dan pembantu wanita masing-masing berusia 69 dan 60 tahun.
“Sebaik memasuki premis, suspek yang memakai penutup muka mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai, sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan parang.
“Suspek sempat melarikan sejumlah emas bernilai kira-kira RM50,000.
“Bagaimanapun, suspek dikejar pemilik kedai bersama orang awam sebelum diberkas anggota polis yang meronda berhampiran lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan.
Shariman berkata, suspek, 45, kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.






