
KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 78.1 peratus setakat 31 Mei lalu, namun masih ketinggalan 7.11 peratus berbanding sasaran asal sebanyak 85.21 peratus.
Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata, projek itu turut mencatatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM8.457 bilion atau 76.2 peratus daripada nilai keseluruhan projek.
Menurut kementerian itu, keputusan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal-kapal LCS seperti yang dijamin oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
“Keputusan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem NSM kepada Malaysia tidak memberi kesan kepada jadual penyerahan kapal-kapal LCS seperti yang telah dijamin oleh LUNAS kepada Mindef,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung status terkini projek LCS, jumlah dana awam yang telah dibelanjakan sehingga 31 Mei, kos tambahan yang diperlukan bagi menyiapkan projek serta jaminan penyerahan kapal pertama kepada TLDM pada Disember ini.
Mindef memaklumkan kapal LCS masih mengekalkan pelbagai keupayaan utama termasuk peperangan antikapal selam, peperangan antiudara, peperangan elektronik serta dilengkapi Combat Management System (CMS) yang mengintegrasikan sistem radar dan pengesan kapal.
Menurut kementerian itu, TLDM turut mengambil segala langkah bagi memastikan keupayaan Surface-to-Surface Missile pada kapal-kapal LCS dapat dipulihkan menerusi penyelesaian terbaik.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara itu. Susulan keputusan tersebut, Mindef mengemukakan notis tuntutan bernilai RM1 bilion terhadap syarikat pertahanan yang terbabit.






