
KUALA LUMPUR: Peranan guru yang semakin terbatas dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes buli di sekolah.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, guru perlu dikembalikan kepada peranan asal mereka sebagai pendidik yang mampu membimbing, menegur dan membentuk sahsiah pelajar dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, guru perlu dihormati, namun dalam masa sama sentiasa berpegang kepada nilai agama, akhlak, undang-undang serta kebijaksanaan ketika melaksanakan tanggungjawab.
“Apabila guru hilang kewibawaan, sekolah kehilangan tiangnya. Apabila guru takut menegur, murid kehilangan bimbingan,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu buli menerusi siri Mauqif bertajuk Isu Buli: Saatnya Kita Kembalikan Roh Pendidikan.
Zulkifli berkata, gejala buli yang semakin membimbangkan bukan sahaja meninggalkan trauma dan menghakis keyakinan diri mangsa, malah terdapat kes yang berakhir dengan kehilangan nyawa.
Katanya, keadaan menjadi lebih serius apabila ada pembuli menganggap perbuatan mereka sekadar gurauan, sedangkan setiap ejekan, penghinaan dan tindakan menyakiti orang lain merupakan satu bentuk kezaliman yang ditegah dalam Islam.
Bagi memperkukuhkan pandangannya, beliau turut berkongsi kisah ulama terkenal, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi mengenai pengalaman ketika kecil mengikuti halaqah al-Quran.
Menurut beliau, al-Sya’rawi pernah menceritakan bahawa hanya dengan melihat rotan yang tergantung di hadapan kelas sudah cukup menimbulkan rasa gerun, sekali gus mendorongnya belajar dengan bersungguh-sungguh serta berdisiplin.
Zulkifli berharap perkongsian tersebut dapat menjadi renungan kepada semua pihak dalam memperkukuh usaha menangani gejala buli secara menyeluruh melalui pendekatan yang berteraskan adab, disiplin dan nilai pendidikan.
Katanya, usaha membendung buli tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, masyarakat dan semua pihak bagi mengembalikan roh pendidikan yang menekankan pembentukan akhlak serta saling menghormati.





