
SEREMBAN: Beberapa jalan utama di pusat bandar di sini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat selama dua hari bermula esok bagi memberi laluan kepada Latihan Simulasi Eksesais Pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, penutupan jalan bagi tujuan raptai akan dilaksanakan esok dari pukul 3 petang hingga 5 petang, manakala latihan simulasi sebenar berlangsung pada Jumaat dari pukul 3 petang hingga 5.30 petang.
Menurut beliau, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Yam Tuan, Jalan Datuk Sheikh Ahmad, Lorong Khalsa dan Jalan Lim Kee Siong.
“Turut terlibat ialah persimpangan Jalan Tuanku Hassan/Jalan Yam Tuan (Madura), Jalan Lee Fong Yee/Jalan Yam Tuan, Jalan Lim Kee Siong/Jalan Jawa serta Lorong Khalsa/Lorong Jawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya disaran menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Datuk Abdul Malik, Jalan Tuanku Hassan, Jalan Tuanku Munawir dan Jalan Datuk Abdul Kadir bagi mengelakkan kesesakan.
Mohd. Yatim turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pegawai serta anggota trafik yang bertugas dan merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh latihan dijalankan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033477 atau 06-6014999.






