
PUTRAJAYA: Kerajaan dan ejennya perlu bertanggungjawab mendedahkan kewujudan titah diraja yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
Menerusi permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman, peguam Shafee Abdullah berkata, Najib tidak mempunyai tanggungjawab untuk berbuat demikian tetapi bertindak dengan sewajarnya bagi mendapatkan bukti tersebut.
“Ini tugas kerajaan, terutama bekas peguam negara (Ahmad Terrirudin Salleh), untuk menampilkan perintah adendum tersebut,” kata Shafee, sambil beliau menambah bahawa adendum itu dihantar oleh istana kepada bekas peguam negara ketika ia dikeluarkan.
“Mereka (kerajaan) mesti memberi jawapan kepada anak guam saya kerana mereka adalah pihak berkuasa awam,” katanya kepada panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azizah Nawawi.
Katanya, Najib juga menulis surat kepada enam pihak termasuk kerajaan pada tahun lalu, sebelum memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman pada April tahun lalu.
Panel itu turut dianggotai Hakim Azahari Kamal Ramli dan Firuz Jaffril.
Shafee turut memberitahu mahkamah bahawa anak lelaki Najib, Nizar, memfailkan satu lagi afidavit dua hari lalu.
Dalam afidavit itu, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Ahmad Khirrizal Ab Rahman mengesahkan kewujudan perintah adendum tersebut dan keasliannya.