
KUALA LUMPUR: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengakui tidak mempunyai mekanisme khusus dalam mengesan kenderaan perdagangan yang menggunakan alat ganti sewa untuk mendapatkan kelulusan ketika pemeriksaan di fasilitinya.
Puspakom menerusi kenyataan memaklumkan, keadaan itu membuatkan pihaknya tidak dapat mengesan mana-mana kenderaan yang cuba menipu pemeriksaan menggunakan modus operandi berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya kini mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk kementerian berkaitan bagi membantu Puspakom menjalankan pemeriksaan dengan lebih jitu dan terperinci.
“Kami tidak dapat mengesan penggunaan komponen kenderaan yang disewa misalnya tayar, brek, pad brek dan sebagainya, kerana ia agak umum.
“Bagaimanapun, kami sedang berbincang dengan pengawal selia dan kementerian untuk memperbaiki proses kami. Langkah ini boleh membawa kepada pemeriksaan yang lebih tepat dan teliti. Ini akan melibatkan penggunaan teknologi.
“Contohnya apabila kita mempersoal mengenai isu tayar, walaupun kami sudah memeriksanya tetapi oleh kerana kerosakan itu berpunca dalam brek berkenaan (gandar), kami tidak mempunyai keupayaan untuk memeriksa bahagian itu.
“Apabila kami memeriksa prestasi brek, kami akan memeriksa keberkesanan brek dan prestasi tayar,” katanya dalam kenyataan.
Sindiket menyewa komponen kenderaan termasuk tayar baharu kepada kenderaan perdagangan mendapat perhatian susulan nahas yang mengorbankan tujuh orang di Melaka pada 23 Disember lalu.
Polis memaklumkan, kemalangan itu didakwa berpunca daripada tayar depan kanan sebuah lori dipandu lelaki berusia 31 tahun tercabut dan berada di lorong tengah, sebelum dilanggar bas persiaran yang kemudian hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan serta merempuh tiga kenderaan lain.
Susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Isnin minggu lalu melancarkan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara dan mengesan ada kenderaan berat menggunakan tayar celup uzur dan tidak selamat yang berisiko meletup bila-bila masa, melakukan pemeriksaan di pusat berkenaan.