
KUALA SELANGOR: Sebuah gudang memproses dan menyimpan racun tikus musnah dalam kebakaran di Bukit Rotan, Bestari Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 4.14 pagi mengenai kebakaran tersebut.
Katanya, sepasukan 40 anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Kuala Selangor, Batu Arang, Kapar, Klang Utara, Rawang dan Sungai Besar dikerah ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
“Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, kerja-kerja ‘overhaul’ diteruskan dan operasi tamat sepenuhnya pukul 10.30 pagi.
Katanya, kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, selain memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan.