
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku kekecohan membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) semalam.
ATM dalam kenyataan memaklumkan, insiden pukul 5 petang itu berpunca daripada keinginan warga Palestin terbabit yang mahu proses permohonan kembali ke tanah air mereka dipercepatkan.
Menurut kenyataan itu, pegawai dan anggota ATM dapat mengawal situasi tanpa membabitkan pergaduhan atau kecederaan menerusi perbincangan aman.
“Hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL.
“Warga Palestin yang terlibat juga bersurai kira-kira 7.30 petang,” jelas kenyataan itu yang turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
Menerusi video tular dalam media sosial, sekumpulan warga Palestin berkenaan membuat kerosakan, termasuk membakar cadar bagi meluahkan rasa tidak puas hati.
Ada beberapa penghuni turut berkumpul di lobi WTKL sambil memegang kertas bertulis ‘mogok lapar’.
Pada Oktober lalu, kekecohan turut tercetus di lokasi sama membabitkan warga Palestin yang didakwa kurang berpuas hati kerana tidak dibenarkan keluar untuk menginap di luar premis berkenaan atas faktor keselamatan.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 warga Palestin dan ahli keluarga tiba di Malaysia dengan menaiki dua pesawat A-400M TUDM.
Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di negara ini.