 
        KUALA LUMPUR : Kerajaan kini sedang meneliti kewajaran menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional bagi memperkukuh aspek perlindungan dan kebajikan golongan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan dikemukakan Rodziah Ismail (PH–Ampang) itu dianggap tepat pada masanya memandangkan negara kini berdepan pelbagai isu yang memberi kesan terhadap keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.
Azalina menjelaskan, kerajaan akan meneliti secara menyeluruh cadangan tersebut termasuk daripada segi mandat, struktur, aspek perundangan serta implikasi kewangan bagi memastikan ia tidak bertindih dengan peranan institusi sedia ada.
Penubuhan suruhanjaya berkenaan dilihat mampu menjadi platform berpusat dan lebih berwibawa dalam menangani isu penderaan, eksploitasi serta pengabaian kanak-kanak yang semakin membimbangkan ketika ini.
“Buat masa ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak sedang dilaksanakan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang berperanan menasihati kerajaan, memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) serta menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Azalina, kerajaan berpandangan langkah segera yang perlu diambil dalam memperkukuh peranan dan autonomi Suhakam.
Menurutnya, kajian lanjut perlu dilaksanakan mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak, berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara.
“Tambahan pula, jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak ini dibuat berdasarkan seksyen 6A Akta Suhakam 1999 (Akta 597), yang secara tidak langsung bermaksud tanggungjawab ini bukan sahaja untuk memberi tumpuan khusus kepada isu-kanak-kanak.
“Tetapi juga mengambil kira kerangka tanggungjawab dan mandat Suhakam secara menyeluruh, termasuk pemajuan hak asasi manusia secara holistik.
“Mengambil kira populasi kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.13 juta atau sekitar 27.4 peratus daripada jumlah penduduk negara pada 2023, perkara ini membuktikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak amat tepat pada masanya dan bergerak seiring dengan visi Kerajaan supaya setiap negeri boleh ditempatkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak pada masa hadapan,” katanya.
Ketika ini, hanya terdapat tiga Pesuruhjaya Kanak-Kanak iaitu Dr. Mohd. Al Adib Samuri, Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah dan Melissa Mohd. Akhir.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak disandang Dr. Farah Nini Dusuki.

 
         
         
        